6 Ogos 2015
KOTA BHARU - Sebanyak 68 kes kemalangan di tempat kerja dengan tujuh daripadanya melibatkan kematian dilaporkan sepanjang Januari hingga Julai lalu, kata Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Mohammad Nizam Ali.
Mohammad Nizam berkata, faktor penyeliaan yang kurang diberi perhatian dikenal pasti antara penyumbang utama kemalangan di tempat kerja selain persekitaran dan kelakuan pekerja yang tidak selamat.
“Sikap segelintir majikan yang kurang beri perhatian terhadap aspek keselamatan mendedahkan pekerja mereka dengan kemalangan, penyeliaan melalui penyelenggaraan peralatan, dan memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan selamat penting bagi elak kejadian tidak diingini.
“Selain itu, tidak ada atau tidak mematuhi prosedur kerja selamat (SOP) juga turut mengundang kemalangan dalam kalangan pekerja kerana aspek-aspek keselamatan yang sepatutnya diutamakan tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Mohammad Nizam ditemui media selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Tapak Bina sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2015 peringkat Negeri Kelantan di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohammad Nizam berkata, antara kemalangan yang menyebabkan kematian termasuk ditimpa traktor (sektor pertanian), dihempap objek keras (pembalakan dan pembinaan), tertimbus (pembinaan), dan tersepit mesin.
Menurutnya, kemalangan di tempat kerja boleh dielak sekiranya semua pihak memainkan peranan sebaiknya dan majikan memberikan maklumat yang jelas kepada kakitangan mereka.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Mohammad Nizam berkata, sehingga kini sebanyak 101 tapak pembinaan telah berdaftar dengan JKKP Kelantan dengan 32 daripadanya melebihi nilai kontrak RM20 juta.
Beliau berkata, sehingga Julai lalu, pihaknya telah menjalankan 194 pemeriksaan ke atas 101 tapak pembinaan tersebut dengan 163 notis pembaikan dan larangan dikeluarkan, selain empat kompaun dan dua kes dibawa ke mahkamah.
kemalangan ditempat kerja yang tidak diduga
Kredit : Sinar Harian

No comments:
Post a Comment