Thursday, April 28, 2022

KEKAYAAN VS KESIHATAN

Perawi : Abdullah bin Khubaib RA 

Koleksi : Sunan Ibnu Majah 

Kitab :Kitab Perniagaan - كِتَابُ التِّجَارَاتِ

Bab :Galakan Mencari Rezeki

No. Hadith : 2141

Status : Sahih 


Matan Hadith

عَنْ مُعَاذِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خُبَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَمِّهِ قَالَ: كُنَّا فِي مَجْلِسٍ فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى رَأْسِهِ أَثَرُ مَاءٍ، فَقَالَ لَهُ بَعْضُنَا: نَرَاكَ الْيَوْمَ طَيِّبَ النَّفْسِ، فَقَالَ: أَجَلْ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، ثُمَّ أَفَاضَ الْقَوْمُ فِي ذِكْرِ الْغِنَى، فَقَالَ: لَا بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنْ اتَّقَى، وَالصِّحَّةُ لِمَنْ اتَّقَى خَيْرٌ مِنْ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنْ النَّعِيمِ. رواه إبن ماجه وأحمد والحاكم.


التخريج: سنن ابن ماجه، كِتَابُ التِّجَارَاتِ، بَابٌ الْحَثُّ عَلَى الْمَكَاسِبِ، حديث رقم 2141، وقال البوصيري في الزجاجة: هذا إسناد صحيح ورجاله ثقات.


Terjemahan

Daripada Mu'az bin Abdullah bin Khubaib RA; daripada bapanya; daripada bapa saudaranya, beliau berkata: "Ketika kami berada dalam satu majlis, maka Nabi SAW telah datang sementara di atas kepala Baginda masih ada sisa air mandian. Sebahagian daripada kami berkata kepada Baginda SAW: "Hari ini kami melihat kamu amat gembira.” Lantas Baginda SAW menjawab: "Benar, segala pujian bagi Allah." Setelah itu para sahabat hanyut (leka) membincangkan hal kekayaan sehinggalah Baginda SAW bersabda: “Tiada apa-apa (tiada halangan) dengan kekayaan bagi orang yang bertakwa. Adalah kesihatan itu bagi orang yang bertakwa lebih baik daripada harta kekayaan dan kebahagiaan jiwa itu adalah sebahagian daripada kenikmatan.” (Hadith riwayat Ibn Majah, no. 2141, Ahmad, no. 22076, 22144 dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 2090)


Pengajaran

1. Islam adalah agama toleransi, mudah dan tidak menyusahkan. Setiap Muslim hendaklah menjalani kehidupan di dunia ini sebagaimana yang telah disyariatkan Allah SWT. Termasuklah dalam urusan mencari rezeki dan harta yang halal tanpa meninggalkan hak terhadap Allah SWT dan hamba-Nya.


2. Dalam Sunan Ibn Majah, hadith ini diletakkan dalam ‘Bab Galakan Mencari Rezeki’ dan penjelasan berkenaan maksud hadith ini dikumpulkan dalam Kitab Syuruh Sunan Ibn Majah (1/833), antaranya:


i- “Kekayaan tanpa takwa”. Berkata Imam al-Suyuti dalam al-Nawadir al-Usul: “Kekayaan tanpa sifat takwa akan membawa kepada kebinasaan. Bahkan tanpa ketakwaan, kekayaan itu akan dikumpulkan daripada sumber yang tidak halal, menjadi penghalang kepada jalan kebenaran dan dibelanjakan dengan cara yang tidak betul. Melainkan ianya diusahakan dengan sifat takwa maka itu adalah dibolehkan dan membawa kepada kebaikan.


ii- “Kepentingan kesihatan”. Kesihatan itu menjadi punca kekuatan tubuh badan dalam menunaikan ibadah kepada Allah SWT. Ianya diibaratkan harta yang berpanjangan kerana apabila seseorang ditimpa kesakitan maka ianya akan menjadi penghalang daripada menunaikan ibadah. Bahkan kesihatan dengan kekayaan itu adalah lebih baik daripada kekayaan tanpa kesihatan.


 iii- “Kebahagiaan jiwa”. Kebahagiaan jiwa itu lahir dari sifat syukur dan sabar yang menjadi cahaya yang menerangi hati sanubari serta keyakinan yang kukuh kepada Allah SWT. Ia juga hasil daripada sifat redha dan qana‘ah (merasa cukup). Sifat-sifat mahmudah ini akan menjauhi jiwa daripada kesempitan dan kegelapan.


3. Islam tidak menghalang seseorang untuk mencari kekayaan. Namun kekayaan itu hendaklah diusahakan bersama sifat takwa. Tanpa sifat takwa manusia akan hanyut dalam arus kekayaan sehingga lupa apa yang halal dan haram serta menjauhkan dirinya daripada menginggati Allah SWT. Kekayaan tidak dapat membeli kesembuhan dan kebahagiaan tetapi kesihatan dapat memberikan kenikmatan. Sentiasalah mensyukuri dan menyedari bahawa nikmat kekayaan itu hanyalah pinjaman serta ujian daripada Allah SWT.


Sumber rujukan:

1. Kitab Sunan Ibn Majah

2. Kitab Musnad Ahmad

3. Kitab al-Mustadrak Li al-Hakim

4. Kitab Syuruh Sunan Ibn Majah 


Kredit : JAKIM

#kekayaan #kaya #sihat #kesihatan #gembira #takwa #jiwa #kenikmatan 



Tuesday, April 26, 2022

7 Sebab Tuntutan Takaful Anda Ditolak

Antara sebab rakyat Malaysia dapatkan perlindungan Takaful ialah supaya anda dan keluarga  dari dilindungi dari beban kos perubatan tinggi jika musibah melanda. Tetapi untuk dapatkan manfaat sepenuhnya dari pelan Takaful, anda harus memahami sebab utama tuntutan Takaful boleh ditolak.

1. Anda tidak mengesahkan penyakit sedia ada

Dalam kontrak Takaful, anda perlu mengesahkan sekiranya anda ada menghidapi  penyakit sewaktu memohon pelan Takaful tersebut. Ketahui bahawa pihak Takaful boleh mendapatkan laporan perubatan dari jabatan tuntutan yang akan melakukan siasatan sebaik sahaja tuntutan dibuat. Jika anda membuat tuntutan untuk penyakit yang sedia ada yang tidak diisytiharkan, tuntutan Takaful bakal ditolak. Oleh itu berlaku jujur dan dedahkan maklumat sebenar.

2. Anda tidak memahami terma dan syarat perlindungan Takaful

Perlindungan Takaful adalah berbeza antara syarikat Takaful. Oleh itu, anda disarankan untuk memahami terma dan syarat bagi pelan yang dimohon, terutamanya jenis penyakit dibawah tuntutan dan sebaliknya. Fahami juga perbezaan antara pelan perubatan dan pelan penyakit kritikal.

Bagi pelan perubatan, perlindungan adalah untuk situasi kecemasan yang memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital. Pelan ini akan menanggung kos sepanjang pesakit di wad serta rawatan yang diperlukan. Pelan penyakit kritikal pula akan memberikan pemegang bayaran sekaligus berdasarkan peratus didalam kontrak jika pemegang pelan didiagnosis dengan penyakit kritikal.

Sebelum memohon mana pelan Takaful, pastikan anda dapatkan penjelasan dari ejen Takaful mengenai perlindungan yang ditawarkan oleh pelan tersebut.

3. Pelan Takaful anda telah luput

Anda mungkin terlupa untuk membuat bayaran bulanan, dan ini akan menyebabkan pelan tersebut luput.  Oleh sebab itu, apabila anda ingin membuat tuntutan, ia akan ditolak kerana anda sudah tidak berada dibawah perlindungan Takaful tersebut. Untuk mengelakkan situasi ini berlaku, pastikan anda boleh dihubungi ejen Takaful kerana mereka bertanggungjawab untuk menghantar peringatan sekiranya pelan Takaful anda hampir luput. Pastikan nombor telefon serta maklumat lain anda dikemaskini seperti e-mel dan alamat supaya anda boleh dihubungi.

4. Tuntutan anda melebihi jumlah perlindungan

Untuk pengetahuan anda, setiap pelan Takaful memiliki had tuntutan tahunan. Contohnya, pelan anda memiliki had sebanyak RM100,000 setahun. Jadi, setiap tahun, anda hanya boleh membuat tuntutan tidak melebihi dari jumlah tersebut. Tuntutan yang melebihi jumlah perlindungan tahunan akan ditolak.  Jadi, sebelum memilih pelan Takaful, pastikan anda lihat pada had tahunan pelan tersebut. Ini kerana ramai yang hanya akan fokus ke jumlah tuntutan keseluruhan sepanjang hayat sahaja.

5. Tuntutan dibuat dalam tempoh menunggu

Walaupun anda telah berjaya memiliki pelan Takaful, biasanya ada tempoh menunggu sebelum tuntutan boleh dilakukan. Bergantung kepada polisi dan jenis tuntutan, tempoh menunggu ini ialah sekitar 1 bulan hingga 3 bulan. Oleh itu, jangan berlengah untuk dapatkan perlindungan insurans bagi anda dan keluarga. Kita tidak tahu bila musibah bakal menimpa.

6. Terlepas tempoh menghantar tuntutan

Sesetengah polisi Takaful juga akan menetapkan tarikh masa untuk menghantar tuntutan. Walaupun anda layak dan telah menyediakan dokumen sokongan secukupnya, tuntutan akan ditolak jika anda terlepas tarikh tersebut. Jangan berlengah untuk menghantar tuntutan. Biasanya, tempoh yang diberikan untuk anda lakukan tuntutan ialah 3 bulan dari tarikh rawatan. Namun seperti yang telah dimaklumkan, ianya berbeza bergantung kepada pelan Takaful oleh itu anda dinasihati untuk dapatkan semua maklumat ini dari syarikat Takaful tersebut.

7. Maklumat tidak lengkap

Walaupun kami sarankan anda untuk tidak berlengah, jangan pula tergesa-gesa untuk menghantar tuntutan! Silap-silap, anda akan terlepas bahagian penting yang perlu dilengkapkan. Ambil masa untuk baca dan memahami borang tuntutan sebelum ianya dihantar, berserta dengan dokumen sokongan secukupnya. Seeloknya, isi sendiri dan jangan bergantung kepada ejen Takaful anda untuk lakukan proses ini.

Kredit : comparehero.my

#takaful #tuntutan #malaysia


Antara MRTT dan MLTT, mana lagi bagus?


 

KUALA LUMPUR: Setiap pembiayaan rumah diwajibkan mengambil satu polisi takaful tambahan untuk melindungi pembiayaan antara pemegang polisi dan pihak bank.

Bagi pembiayaan perumahan, terdapat dua produk takaful gadai janji yang harus dipilih oleh pembeli iaitu Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTT) dan Takaful Bertempoh Gadai Janji Mendatar (MLTT).

Ketika ini, ramai yang keliru dan kurang pasti produk manakah yang bersesuaian dengan jenis pembiayaan yang dimohon dan apakah manfaat atau kelebihan yang diperolehi jika melanggan salah satu produk ini.

Perunding kanan Infaq Consultancy Sdn Bhd, Afyan Mat Rawi, menjelaskan MRTT adalah perlindungan takaful yang berkurangan mengikut tempoh pembiayaan perumahan anda.

Ia bergerak seiring dengan jumlah pembiayaan yang semakin berkurangan setiap tahun dan ia boleh dibayar secara terus serta dimasukkan ke dalam pembiayaan bank.

“Pendek kata, ia lebih murah kerana perlindungan akan semakin berkurangan,” katanya kepada Hartanah BH.

Manakala, bagi MLTT, katanya, ia adalah perlindungan takaful yang kekal sepanjang tempoh pembiayaan berkenaan.

“Kalau diikutkan MLTT lebih mahal, sebab jumlah perlindungan yang meningkat saban tahun.

“Dan MLTT ini tidak boleh dimasukkan ke dalam pembiayaan bank, jadi kena keluar daripada poket sendiri untuk membayarnya tetapi MLTT ini dibayar secara ansuran,” katanya.

Mengulas mengenai perlindungan antara kedua-dua produk, Afyan berkata, apabila berlaku tuntutan dalam kes kematian atau lumpuh (dikenali sebagai TPD, atau ketidakupayaan kekal), polisi MRTT akan membayar baki hutang kepada pihak bank.

“Manakala polisi MLTT pula akan membayar keseluruhan pampasan kepada penama. Ia akan jadi tanggungjawab penama untuk selesaikan hutang si mati kepada pihak bank.

“Jika pemilik rumah mengambil MRTT, proses pembayaran tuntutan berkenaan hanya membabitkan dua pihak (iaitu bank dan syarikat takaful sahaja) dan ahli keluarga mangsa akan dapat rumah berkenaan,” katanya.

Sementara bagi kes MLTT pula, pihak penama atau ahli waris akan terbabit untuk menerima pampasan dari pihak syarikat.

“Selepas menerima pampasan ini, pihak waris bertanggungjawab selesaikan baki hutang kepada pihak bank.

Dalam kes ini, terserah kepada ahli waris untuk membayar sekali gus baki hutang itu atau buat bayaran secara ansuran. Lebihan wang pampasan adalah hak milik ahli waris, dan ia tertakluk kepada konsep faraid,” katanya.

Mengulas lanjut, Afyan berkata, sekiranya pemegang polisi melakukan pembiayaan semula bagi perumahan terbabit sebelum tamat tempoh polisi MRTT, polisi berkenaan akan terbatal berbanding polisi MLTT yang boleh digunapakai untuk beberapa tujuan pembiayaan dan tidak terkesan jika pemilik membuat pembiayaan semula atau menjual rumah berkenaan sebelum tamat tempoh.

Secara umumnya, MRTT sesuai untuk rumah kediaman, pembelian jangka panjang dan tidak bercadang untuk membuat pembiayaan semula serta pembeli berumur 35 tahun ke atas manakala MLTT sesuai untuk rumah pelaburan, pembelian jangka pendek dan bercadang untuk membuat pembiayaan semula serta pembeli berusia bawah 35 tahun.

Kredit : Berita Harian

#takaful #mltt #mrtt # takafulshahalam #takafulincomeprotection #malaysia #rumah

Peranan insurans, takaful kurangkan kos rawatan kesihatan



Kesedaran terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), dianggarkan 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia disebabkan NCD dan peratusan ini terus meningkat setiap tahun.

NCD paling banyak dihadapi rakyat Malaysia adalah berkaitan kardiovaskular dan kanser. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan melancarkan inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau disebut sebagai PeKa B40, bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap NCD.

Selain PeKa B40, beberapa inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat bagi menghadapi kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat.

Tuah dan musibah boleh menimpa sesiapa sahaja - berkemampuan atau tidak, tua atau muda, tidak kira waktu dan tempat.

Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu atau sebuah organisasi kepada syarikat insurans. Individu atau organisasi terbabit akan menjadi pemegang polisi.

Syarikat insurans bayar pampasan

Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada pemegang polisi dalam bentuk premium. Sekiranya pemegang polisi kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada pemegang polisi itu.

Takaful pula mempunyai prinsip asas sama, namun ditambah baik daripada insurans bagi memenuhi keperluan produk mengikut peraturan digariskan Syariah.

Insurans dan takaful dilihat sebagai cara mengurangkan kos rawatan kesihatan masa kini. Ia memberi sokongan kewangan yang amat diperlukan ketika waktu kecemasan.

Perlindungan kewangan adalah instrumen penting dalam merancang kewangan jangka masa panjang. Perlindungan kewangan melindungi diri daripada musibah yang tidak dijangka.

Berbeza simpanan, perlindungan kewangan bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan rawatan kesihatan. Harga premium insurans dan takaful meningkat seiring tahap usia dan kesihatan seseorang.

Premium untuk pelan kesihatan ditentukan umur, sejarah perubatan, bandar kediaman dan lain-lain daripada yang diinsuranskan. Jika premium dibeli pada usia muda, amaun dibayar lebih murah.

Selain perlindungan, terdapat juga pelan insurans dan takaful yang menggabungkan perlindungan dengan pelaburan. Premium dibayar bukan sahaja menyediakan insurans semata-mata, tetapi sebahagian daripadanya dilaburkan ke dalam dana pelaburan.

Mendapat berita sahabat ditimpa penyakit atau kemalangan amat mendukacitakan. Pasti ini menimbulkan kos perbelanjaan lain seperti kos ubat, kos rundingan doktor, peralatan perubatan, kos perjalanan ulang-alik ke hospital serta kos lain.

Atas sebab itu, masyarakat harus lebih peka terhadap kepentingan dan peranan insurans dan takaful dalam memberi sokongan kewangan yang lebih terjamin. Pada masa sama dapat membiayai kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat hari ini.

Tiada jumlah wang yang boleh menggantikan nyawa seseorang, namun polisi insurans dan takaful boleh memberi perlindungan untuk berdepan dengan ketidaktentuan hidup.

Amir Jalal,
Pegawai Penyelidik di EMIR Research

Kredit : Berita Harian

#takaful #penyakittidakberjangkit #NCD #malaysia

Monday, April 25, 2022

Mufti Terengganu dilantik sertai jawatankuasa Shariah Takaful Etiqa

 


KUALA LUMPUR: Kumpulan Takaful Etiqa melantik Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron sebagai ahli Jawatankuasa Shariah yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Beliau bersama ahli Jawatankuasa Shariah yang lain akan bertanggungjawab dalam memastikan hal ehwal perniagaan dan aktiviti kumpulan mematuhi prinsip shariah.

Pengerusi Etiqa General Takaful Bhd dan Etiqa Family Takaful Bhd, Datuk Majid Mohamad, berkata kumpulan berbesar hati menerima Mohamad Sabri dalam Jawatankuasa Shariahnya.

"Sebagai Mufti Terengganu serta pengalaman lebih 20 tahun beliau dalam industri kewangan Islam, kami percaya dengan pengalaman dan kepakarannya akan menguatkan tadbir urus shariah serta memperluaskan budaya pematuhan shariah dalam entiti takaful Etiqa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Sabri berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh (Shariah) dari Universiti Jordan.

Penyelidikan tesis PhD beliau di dalam bahasa Arab berkenaan hukum hakam dalam pasaran modal, saham dan bon dianggap sebagai antara perintis di dalam dunia Islam.

Dalam bidang kewangan Islam pula, beliau adalah ahli Jawatankuasa Shariah Bank Muamalat Malaysia Bhd bermula dari 2 Disember 2003 sehingga 31 Mac 2021.

"Mohamad Sabri juga adalah pengerusi Jawatankuasa Shariah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) sejak Januari 2021.

"Beliau pernah dipinjamkan ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengurus Kanan Pasaran Modal Islam dari 1 Jun 2009 sehingga 31 Mei 2010," katanya.

Kredit : Berita Harian

#takaful #etiqa #beritaharian #muftiterengganu #takafulshahalam # takafulincomeprotection #malaysia


HARTA PUSAKA

DEFINISI HARTA PUSAKA

Segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah dia mati.

Termasuk Harta Pusaka

·        Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;

·        Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;

·        Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematian;

·        Dividen / faedah yang terbit daripada harta si mati;

·        Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;

·        Penama Takaful; dan

·        Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usahanya semasa hayat.

 

Bukan Harta Pusaka

·        Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah;

·        Khairat kematian;

·        Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian

·        Imbuhan, pampasan dan sagu hati;

·        Pencen terbitan; dan

·        Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)

 

DALIL PENSYARIATAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

Al-Quran

Firman Allah SWT:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۚ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Yang bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga  dari harta yang ditinggalkan  oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 11)

 

Firman Allah SWT:

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۚ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ ۚ فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ ۚ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ

Yang bermaksud: “Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing  ialah satu perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.” (Surah Al-Nisa’: 12)

Firman Allah SWT:

يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ ۚ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهَا وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Yang bermaksud: “Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Nisa’: 176)

Al-Hadis

Daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Yang bermaksud: “Hendaklah kamu berikan fardu-fardu kepada ahli-ahlinya, apa yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hal yang berkaitan gugurnya hak faraid, hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

القاتلُ لا يَرِثُ

Yang bermaksud:  “Pembunuh tidak akan mewarisi harta pusaka.” (Riwayat at-Tirmizi)

Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يرِثُ المسلمُ الكافرَ ولا الكافِرُ المُسْلِمَ

Yang bermaksud: “Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.” (Riwayat al-Bukhari)

 

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

Islam menetapkan kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan sebagai faraid. Ia diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia yang meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dilunaskan hutang-piutangnya (hutang dengan Allah (zakat, haji, fidyah dan kaffarah) dan hutang dengan manusia) dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).

 RUKUN PUSAKA

·        Si mati > orang yang diwarisi hartanya selepas kematian;

·        Waris > orang yang berhak menerima pusaka; dan

·        Harta > apa-apa kepunyaan si mati yang boleh diwarisi

SEBAB-SEBAB MEMPUSAKAI HARTA

·        Perkahwinan

·        Keturunan

·        Islam

HALANGAN MENERIMA PUSAKA

·        Membunuh

·        Berlainan Agama

·        Murtad

SYARAT-SYARAT MEMPUSAKAI HARTA

·        Pemilik harta mati

·        Waris hidup ketika pemilik harta mati

 WARIS-WARIS DALAM PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

Waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka dibahagikan kepada waris lelaki dan perempuan seperti berikut:


Cara mewarisi harta pusaka sama ada seseorang waris itu berhak atau tidak berhak adalah tertakluk kepada golongan-golongan waris seperti berikut:

1. Ashab al-Furud
Waris ashabul-furud  menerima harta pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6, 1/8 atau 1/3 baki. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

2. Asabah
Asabah
 adalah waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:

(a)  Asabah Bi al-Nafsi
(b)  Asabah Bi al-Ghairi
(c)  Asabah Ma’a al-Ghairi.

(a) Asabah Bi al-Nafsi
Asabah
 dengan diri sendiri iaitu seseorang menjadi asabah tanpa memerlukan kepada orang lain untuk mengasabahkannya. Kadar  bahagian mereka tidak menentu. Adakalanya mereka mewarisi kesemua harta atau mengambil baki setelah diberi bahagian waris fardu dan adakalanya tidak mendapat bahagian langsung kerana telah dihabiskan oleh waris fardu. Mereka yang mewarisi secara asabah bi al-nafsi ialah semua waris lelaki kecuali suami dan saudara seibu. Namun, jika terdapat ramai waris yang boleh mewarisi harta pusaka secara asabah bi al-nafsi ini, maka yang diutamakan adalah waris yang paling hampir dengan si mati. Waris yang lebih jauh akan terdinding atau gugur.

 (b) Asabah Bi al-Ghairi
Asabah
 bersama dengan orang lain iaitu seseorang mewarisi harta pusaka apabila si mati meninggalkan waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjat di mana bahagian mereka telah ditetapkan iaitu bahagian waris lelaki adalah dua kali lebih daripada bahagian perempuan. Mereka terdiri daripada 4 golongan, iaitu: anak lelaki dan perempuan, cucu lelaki dan cucu perempuan, saudara seibu sebapa lelaki dan saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa perempuan.

(c) Asabah Ma’a al-Ghairi
Asabah
 berserta dengan orang lain bermaksud waris perempuan iaitu saudara seibu sebapa perempuan atau saudara sebapa perempuan menjadi asabah apabila si mati meninggalkan bersertanya anak perempuan atau cucu perempuan dengan syarat tidak ada saudara seibu sebapa lelaki atau saudara sebapa lelaki yang mengasabahkan saudara-saudara perempuan tersebut menjadi asabah bi al-ghairi.

3. Dhawi al-Arham
Dhawi al-arham
 ialah waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asabah. Ulama’ telah berselisih pendapat tentang kedudukan mereka, sama ada mereka boleh mewarisi harta pusaka atau tidak. Golongan pertama berpendapat mereka berhak mewarisi sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah yang dapat menghabisi harta pusaka, atau tidak ada waris fardu boleh diradkan baki harta kepada mereka. Golongan kedua pula berpendapat mereka tidak berhak mewarisi. Oleh itu, sekiranya si mati tidak meninggalkan waris asabah atau meninggalkan waris fardu yang tidak dapat menghabiskan harta pusaka, baki harta pusaka si mati hendaklah diserahkan ke Baitulmal walaupun si mati meninggalkan ramai waris dhawi al-arham.

 

KEDUDUKAN BAITULMAL DALAM PENGURUSAN HARTA PUSAKA

Harta pusaka merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan kepada waris-waris yang berhak. Ia berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5, halaman 6-7: “Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan tidak meninggalkan waris asabah, maka hendaklah diwarisi oleh dhawi al-arham. Pada pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dhawi al-arham itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bilamana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh pemimpin yang adil.”

Dalam kitab al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa al-Sunnah, karangan al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni, cetakan ke-5, tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi’e bahawa dhawi al-arham atau para kerabat tidak berhak mendapat waris. Lebih jauh mereka mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi waris yang tidak ada ashab al-furud atau asabah yang mengambilnya, maka hendaklah dilimpahkan kepada Baitulmal kaum muslimin untuk disalurkan demi kepentingan masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta tersebut diberikan kepada dhawi al-arham. Di antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu Abbas r.a. dalam sebahagian riwayat darinya.

Dalil yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi’e ialah:

1.                 Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak waris adalah dengan adanya nas syar’ie dan qat’ie dari al-Qur’an atau al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang menyatakan wajibnya dhawi al-arham untuk mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dhawi al-arham) bererti kita memberikan hak waris tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut syariat Islam adalah batil.

1.                 Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu, baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun.” Memang sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.

1.                 Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli warisnya secara sah dan benar, baik dari ashab al-furud ataupun para asabah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan peribadi.

BAGAIMANA BAITULMAL MEWARISI HARTA PUSAKA

Baitumal mewarisi harta pusaka seseorang si mati melalui keadaan-keadaan seperti berikut:

i. Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka mengikut hukum faraid. Dalam keadaan ini, semua harta si mati dikembalikan kepada Baitulmal.

Contoh:

Si mati sebatang kara. Tidak mempunyai suami atau isteri, ibu bapa dan tidak pula mempunyai saudara mara, semua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.

ii. Sekiranya si mati meninggalkan waris, tetapi mereka tidak tersenarai sebagai waris yang berhak mewarisi harta pusaka atau terhalang daripada menerima pusaka seperti waris dhawi al-arham atau berlainan agama, maka kesemua harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

(a) Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara perempuan daripada adik beradik lelaki seibu sebapa yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

(b) Si mati tidak mempunyai waris lain kecuali anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu sebapa perempuan yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.

(c) Si mati seorang muallaf. Ibu bapa dan semua saudara mara bukan beragama Islam. Oleh itu semua harta pusakanya dikembalikan kepada Baitulmal kerana berlainan agama menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka.

iii. Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya diserahkan kepada Baitulmal.

Contoh:

(a) Si mati seorang muallaf dan meninggalkan seorang isteri tanpa anak. Waris lain seperti ibu bapa dan adik beradik tidak beragama Islam. Dalam kes ini, isteri hanya layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian sahaja manakala bakinya 3/4 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

(b) Si mati hanya meninggalkan seorang anak perempuan sahaja. Waris lain seperti ibu bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain lagi waris asabah tidak ada. Seorang anak perempuan layak mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian sahaja manakala bakinya 1/2 bahagian lagi diserahkan kepada Baitulmal.

(c) Si mati meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu sebanyak 1/3 bahagian. Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada Baitulmal.

 

FAEDAH MEMPELAJARI ILMU FARAID

·        Menyelesaikan tanggungjawab fardu kifayah dalam masyarakat supaya ilmu ini tidak dilupakan dan tidak pupus ditelan zaman;

·        Menghindarkan kita daripada memakan harta secara batil sama ada dengan merampas atau memiliki harta kepunyaan orang lain terutamanya saudara sendiri;

·        Menghindarkan salah faham dan pertelingkahan dalam kalangan waris yang boleh membawa kepada putusnya tali silaturrahim dan porak peranda dalam institusi keluarga; dan

·        Menyedarkan waris-waris untuk segera menyelesaikan pembahagian harta pusaka, sekaligus mengelakkan penangguhan pembahagian sehingga bertahun-tahun.

 

INSTITUSI PENGURUSAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA




 

Kredit : Majlis Agama Islam Selangor

#takaful #hartapusaka #hibah #faraid #hafizrazali #takafulshahalam #takafulincomeprotection #malaysia