DEFINISI HARTA PUSAKA
Segala
apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan
untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam
miliknya setelah dia mati.
Termasuk Harta
Pusaka
·
Semua harta si mati yang diperolehi secara halal;
·
Sewa yang belum dijelaskan kepada si mati;
·
Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas
kematian;
·
Dividen / faedah yang terbit daripada harta si
mati;
·
Simpanan KWSP berpenama / tiada penama;
·
Penama Takaful; dan
·
Barang yang terbit selepas mati seseorang dari
usahanya semasa hayat.
Bukan Harta Pusaka
·
Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau
dipegang amanah;
·
Khairat kematian;
·
Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
·
Imbuhan, pampasan dan sagu hati;
·
Pencen terbitan; dan
·
Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial
Pekerja 1969 (PERKESO)
DALIL PENSYARIATAN
PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Al-Quran
Firman
Allah SWT:
يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۚ فَإِنْ كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِنْ كَانَتْ وَاحِدَةً فَلَهَا النِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِنْ كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Yang
bermaksud: “Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian
harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai
bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih
dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang
ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja,
maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si
mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan
oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai
anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah
sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara
(adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah
sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah
dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui
siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu.
(Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang
diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 11)
Firman
Allah SWT:
وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۚ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ وَإِنْ كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا السُّدُسُ ۚ فَإِنْ كَانُوا أَكْثَرَ مِنْ ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَا أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَارٍّ ۚ وَصِيَّةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ
Yang
bermaksud: “Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta
yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, jika isteri
kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang
ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar
hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta yang kamu
tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri
memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi
wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki
atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi
mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi
masing-masing ialah satu perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu
lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi
wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat
kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang
benar dari Allah.” (Surah Al-Nisa’: 12)
Firman
Allah SWT:
يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ ۚ إِنِ امْرُؤٌ هَلَكَ لَيْسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُخْتٌ فَلَهَا نِصْفُ مَا تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُهَا إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهَا وَلَدٌ ۚ فَإِنْ كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ وَإِنْ كَانُوا إِخْوَةً رِجَالًا وَنِسَاءً فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Yang
bermaksud: “Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang
kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu):
jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara
perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang
ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara
perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu
dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan
jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka
bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan.
Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Nisa’: 176)
Al-Hadis
Daripada
Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بأَهْلِها، فَما بَقِيَ فَهو لأوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Yang bermaksud: “Hendaklah kamu berikan fardu-fardu kepada ahli-ahlinya, apa
yang berbaki maka untuk lelaki yang lebih utama.” (Riwayat
al-Bukhari)
Dalam
hal yang berkaitan gugurnya hak faraid, hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
القاتلُ لا يَرِثُ
Yang bermaksud: “Pembunuh tidak akan mewarisi harta pusaka.” (Riwayat
at-Tirmizi)
Hak
faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama
sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا يرِثُ المسلمُ الكافرَ ولا الكافِرُ المُسْلِمَ
Yang bermaksud: “Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir
tidak mewarisi orang Islam.” (Riwayat al-Bukhari)
PEMBAHAGIAN HARTA
PUSAKA
Islam
menetapkan kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan sebagai faraid. Ia
diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia yang meninggalkan waris yang
layak menerima harta pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si
mati, dilunaskan hutang-piutangnya (hutang dengan Allah (zakat, haji, fidyah
dan kaffarah) dan hutang dengan manusia) dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya
ada).
RUKUN PUSAKA
·
Si mati > orang yang diwarisi hartanya selepas
kematian;
·
Waris > orang yang berhak menerima pusaka; dan
·
Harta > apa-apa kepunyaan si mati yang boleh
diwarisi
SEBAB-SEBAB
MEMPUSAKAI HARTA
·
Perkahwinan
·
Keturunan
·
Islam
HALANGAN MENERIMA
PUSAKA
·
Membunuh
·
Berlainan Agama
·
Murtad
SYARAT-SYARAT
MEMPUSAKAI HARTA
·
Pemilik harta mati
·
Waris hidup ketika pemilik harta mati
WARIS-WARIS
DALAM PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka dibahagikan kepada waris lelaki dan perempuan seperti berikut:
Cara
mewarisi harta pusaka sama ada seseorang waris itu berhak atau tidak berhak
adalah tertakluk kepada golongan-golongan waris seperti berikut:
1. Ashab al-Furud
Waris ashabul-furud menerima harta pusaka menurut
bahagian yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4,
2/3, 1/6, 1/8 atau 1/3 baki. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu
atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara
perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.
2. Asabah
Asabah adalah
waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu yang ditetapkan. Terdapat 3
jenis asabah iaitu:
(a) Asabah Bi al-Nafsi
(b) Asabah Bi al-Ghairi
(c) Asabah Ma’a al-Ghairi.
(a) Asabah Bi
al-Nafsi
Asabah dengan
diri sendiri iaitu seseorang menjadi asabah tanpa
memerlukan kepada orang lain untuk mengasabahkannya.
Kadar bahagian mereka tidak menentu. Adakalanya mereka mewarisi kesemua
harta atau mengambil baki setelah diberi bahagian waris fardu dan adakalanya
tidak mendapat bahagian langsung kerana telah dihabiskan oleh waris fardu.
Mereka yang mewarisi secara asabah bi al-nafsi ialah
semua waris lelaki kecuali suami dan saudara seibu. Namun, jika terdapat ramai
waris yang boleh mewarisi harta pusaka secara asabah bi al-nafsi ini,
maka yang diutamakan adalah waris yang paling hampir dengan si mati. Waris yang
lebih jauh akan terdinding atau gugur.
(b) Asabah
Bi al-Ghairi
Asabah bersama
dengan orang lain iaitu seseorang mewarisi harta pusaka apabila si mati meninggalkan
waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjat di mana bahagian mereka telah
ditetapkan iaitu bahagian waris lelaki adalah dua kali lebih daripada bahagian
perempuan. Mereka terdiri daripada 4 golongan, iaitu: anak lelaki dan
perempuan, cucu lelaki dan cucu perempuan, saudara seibu sebapa lelaki dan
saudara seibu sebapa perempuan dan saudara sebapa lelaki dan saudara sebapa
perempuan.
(c) Asabah Ma’a
al-Ghairi
Asabah berserta
dengan orang lain bermaksud waris perempuan iaitu saudara seibu sebapa
perempuan atau saudara sebapa perempuan menjadi asabah apabila
si mati meninggalkan bersertanya anak perempuan atau cucu perempuan dengan
syarat tidak ada saudara seibu sebapa lelaki atau saudara sebapa lelaki yang
mengasabahkan saudara-saudara perempuan tersebut
menjadi asabah bi al-ghairi.
3. Dhawi al-Arham
Dhawi al-arham ialah waris yang mempunyai hubungan
kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asabah. Ulama’ telah berselisih pendapat tentang
kedudukan mereka, sama ada mereka boleh mewarisi harta pusaka atau tidak.
Golongan pertama berpendapat mereka berhak mewarisi sekiranya si mati tidak
meninggalkan waris asabah yang
dapat menghabisi harta pusaka, atau tidak ada waris fardu boleh diradkan baki harta kepada mereka. Golongan kedua pula
berpendapat mereka tidak berhak mewarisi. Oleh itu, sekiranya si mati tidak
meninggalkan waris asabah atau
meninggalkan waris fardu yang tidak dapat menghabiskan harta pusaka, baki harta
pusaka si mati hendaklah diserahkan ke Baitulmal walaupun si mati meninggalkan
ramai waris dhawi al-arham.
KEDUDUKAN BAITULMAL
DALAM PENGURUSAN HARTA PUSAKA
Harta pusaka
merupakan salah satu sumber Baitulmal yang telah ditetapkan mengikut hukum
faraid di mana Baitulmal merupakan tempat rujukan terakhir sekiranya sesuatu
harta pusaka itu tiada pewaris atau terdapat baki harta setelah diberikan
kepada waris-waris yang berhak. Ia berdasarkan kitab Raudah al-Talibin karangan Imam An-Nawawi jilid 5,
halaman 6-7: “Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris
fardu, dan tidak meninggalkan waris asabah, maka hendaklah diwarisi oleh dhawi
al-arham. Pada pandangan kami, sesungguhnya pendapat yang sahih dhawi al-arham
itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam
keadaan bilamana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh
pemimpin yang adil.”
Dalam kitab al-Mawarith fi al-Syariah al-Islamiyyah fi Dhauil Kitab wa
al-Sunnah, karangan al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni, cetakan ke-5,
tahun 1407H/1987M menyatakan, pendapat Imam Malik dan Imam Syafi’e bahawa dhawi al-arham atau para kerabat tidak berhak
mendapat waris. Lebih jauh mereka mengatakan bahawa bila harta pusaka bagi
waris yang tidak ada ashab al-furud atau asabah yang mengambilnya, maka hendaklah
dilimpahkan kepada Baitulmal kaum muslimin untuk disalurkan demi kepentingan
masyarakat Islam pada umumnya. Dengan demikian, tidak dibenarkan jika harta
tersebut diberikan kepada dhawi al-arham. Di
antara mereka yang berpendapat demikian ialah Zaid bin Thabit r.a. dan Ibnu
Abbas r.a. dalam sebahagian riwayat darinya.
Dalil
yang dijadikan landasan oleh Imam Malik dan Syafi’e ialah:
1.
Asal pemberian hak waris atau asal penerimaan hak
waris adalah dengan adanya nas syar’ie dan qat’ie dari al-Qur’an atau
al-Sunnah. Dalam hal ini tidak ada satu pun nas yang pasti dan kuat yang
menyatakan wajibnya dhawi al-arham untuk
mendapat waris. Jadi, bila kita memberikan hak waris kepada mereka (dhawi al-arham) bererti kita memberikan hak waris
tanpa berpandukan kepada dalil yang pasti dan kuat. Hal seperti ini menurut
syariat Islam adalah batil.
1.
Rasulullah S.A.W. ketika ditanya tentang hak waris
ibu saudara baik dari sebelah bapa ataupun ibu, baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa dari
keduanya tidak ada hak menerima waris sedikit pun.” Memang
sangat jelas betapa dekatnya kekerabatan saudara perempuan bapa ataupun saudara
perempuan ibu dibandingkan kerabat lainnya. Maka jika keduanya tidak berhak
untuk menerima harta waris, kerabat lain pun demikian. Sebabnya tidak mungkin
dan tidak dibenarkan kita memberikan hak waris kepada kerabat lain, sedangkan
ibu saudara tidak layak mendapatkannya. Berdasarkan kaedah fiqh ianya dikenali
sebagai tarjih bilaa murajjih yang bererti batil.
1.
Harta peninggalan, bila ternyata tidak ada ahli
warisnya secara sah dan benar, baik dari ashab al-furud ataupun
para asabah bila diserahkan ke Baitulmal akan dapat
mewujudkan kemaslahatan umum, sebab umat Islam akan ikut merasakan faedah dan
kegunaannya. Namun sebaliknya, bila diserahkan kepada kerabatnya, maka kegunaan
dan faedahnya akan sangat minimum, dan hanya kalangan mereka saja yang
merasakannya. Padahal dalam kaedah usul fiqh telah ditegaskan bahawa kemaslahatan
umum harus lebih diutamakan daripada kemaslahatan peribadi.
BAGAIMANA BAITULMAL
MEWARISI HARTA PUSAKA
Baitumal
mewarisi harta pusaka seseorang si mati melalui keadaan-keadaan seperti
berikut:
i.
Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang berhak mewarisi harta pusaka
mengikut hukum faraid. Dalam keadaan ini, semua harta si mati dikembalikan
kepada Baitulmal.
Contoh:
Si
mati sebatang kara. Tidak mempunyai suami atau isteri, ibu bapa dan tidak pula
mempunyai saudara mara, semua harta pusakanya diserahkan kepada Baitulmal.
ii. Sekiranya si
mati meninggalkan waris, tetapi mereka tidak tersenarai sebagai waris yang
berhak mewarisi harta pusaka atau terhalang daripada menerima pusaka seperti
waris dhawi al-arham atau berlainan agama, maka kesemua
harta pusaka itu diserahkan kepada Baitulmal.
Contoh:
(a) Si mati tidak
mempunyai waris lain kecuali anak saudara perempuan daripada adik beradik
lelaki seibu sebapa yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori
waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu
kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.
(b) Si mati tidak
mempunyai waris lain kecuali anak saudara lelaki daripada adik beradik seibu
sebapa perempuan yang mati dahulu. Anak saudara ini tergolong dalam kategori
waris dhawi al-arham dan tidak mewarisi. Oleh itu
kesemua harta pusaka diserahkan kepada Baitulmal.
(c)
Si mati seorang muallaf. Ibu bapa dan semua saudara mara bukan beragama Islam.
Oleh itu semua harta pusakanya dikembalikan kepada Baitulmal kerana berlainan
agama menghalang seseorang itu daripada mewarisi harta pusaka.
iii.
Sekiranya si mati meninggalkan waris yang berhak menerima pusaka, namun mereka
hanya mewarisi sebahagian sahaja daripada harta pusaka itu. Maka bakinya
diserahkan kepada Baitulmal.
Contoh:
(a)
Si mati seorang muallaf dan meninggalkan seorang isteri tanpa anak. Waris lain
seperti ibu bapa dan adik beradik tidak beragama Islam. Dalam kes ini, isteri
hanya layak mewarisi sebanyak 1/4 bahagian sahaja manakala bakinya 3/4 bahagian
diserahkan kepada Baitulmal.
(b)
Si mati hanya meninggalkan seorang anak perempuan sahaja. Waris lain seperti
ibu bapa, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain lagi waris asabah tidak ada.
Seorang anak perempuan layak mewarisi secara fardu sebanyak 1/2 bahagian sahaja
manakala bakinya 1/2 bahagian lagi diserahkan kepada Baitulmal.
(c) Si mati
meninggalkan suami dan ibu. Lain-lain waris tidak ada. Suami mewarisi secara
fardu sebanyak 1/2 bahagian manakala ibu si mati juga mewarisi secara fardu
sebanyak 1/3 bahagian. Bakinya sebanyak 1/6 bahagian diserahkan kepada
Baitulmal.
FAEDAH MEMPELAJARI
ILMU FARAID
·
Menyelesaikan tanggungjawab fardu kifayah dalam
masyarakat supaya ilmu ini tidak dilupakan dan tidak pupus ditelan zaman;
·
Menghindarkan kita daripada memakan harta secara
batil sama ada dengan merampas atau memiliki harta kepunyaan orang lain
terutamanya saudara sendiri;
·
Menghindarkan salah faham dan pertelingkahan dalam
kalangan waris yang boleh membawa kepada putusnya tali silaturrahim dan porak
peranda dalam institusi keluarga; dan
·
Menyedarkan waris-waris untuk segera menyelesaikan
pembahagian harta pusaka, sekaligus mengelakkan penangguhan pembahagian
sehingga bertahun-tahun.
INSTITUSI
PENGURUSAN HARTA PUSAKA DI MALAYSIA
Kredit : Majlis Agama Islam Selangor
#takaful #hartapusaka #hibah #faraid #hafizrazali
#takafulshahalam #takafulincomeprotection #malaysia


No comments:
Post a Comment